Hasni jawab dakwaan beliau Antara tiga ‘Panglima Perang’ bakal sertai PN
AHLI Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak mengendahkan tuduhan antara tiga pemimpin UMNO yang dilabel ‘panglima perang’ dari Johor yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sebarang huraian yang akan diberikan mengenai tuduhan itu tidak akan membawa erti kerana dirinya mahu menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Ya, saya tahu nama saya terkait dengan nama tiga ‘panglima perang’ UMNO dari Johor itu. Tetapi saya tidak ambil peduli langsung label yang diberikan itu.
“Ada yang bertanya kepada saya semalam pasal hal ini, tetapi saya tidak jawab. Pada saya penjelasan dan huraian ini tidak membawa apa-apa erti,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan bekas Pengerusi UMNO Johor, menjelaskan ruang rayuan diberikan UMNO kepada ahli yang digantung dan dipecat tidak membawa sebarang erti sekiranya gelaran negatif diberikan.
“Ini bukan masanya melabel sesiapa. Lebih-lebih bila kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan. Selain banyak usaha perlu dilakukan untuk menstabilkan kerajaan.
“Jadi tidak mungkin kerajaan boleh stabil jika parti tidak. Kalau ada perkara yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan maka usaha untuk melabel sebagai ‘warlord’, pengkhianat dan parasit, ini bukan pendekatan mencari kebaikan.
“Begitu juga saya melihat, usaha untuk memberi ruang merayu ke atas mereka yang diambil tindakan sama ada dipecat atau pun digantung daripada parti. Apa juga kaedahnya masalah yang ada di hadapan tak selesai. Oleh itu, apa kebaikannya jika memberi label negatif kepada pemimpin tertentu,” katanya.
Pada Selasa, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman meminta pemimpin dan ahli UMNO yang mempunyai rasa kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti agar tidak menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti.
Sebelum ini, PN mengumumkan 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, di mana tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.
Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.
Leave a Reply