DAP menerima bilangan jawatan dalam Kabinet yang lebih rendah dan tidak seimbang kerana parti itu memilih untuk bertolak ansur dengan menjangkakan masalah yang mungkin timbul berikutan landskap politik yang semakin terpolarisasi di negara ini, terutama berkaitan isu kaum dan agama.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga berkata pelantikan menteri Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri.
“Sudah tentu (polarisasi) membimbangkan kami dan itulah sebabnya kami membuat keputusan tertentu seperti yang kami buat. Jika kita tidak sentiasa sedar tentang isu-isu itu, saya boleh saja buat bising. Seperti kenapa kita hanya diberi empat jawatan menteri? Kerana pada fikiran saya, kita tahu terdapat polarisasi dalam masyarakat.
“Ia berbahaya kepada fabrik negara kita dan itulah sebabnya kami mengambil langkah tertentu untuk memastikan kerajaan ini dapat berfungsi,” kata Loke dalam temu bual di BFM Breakfast Grill, hari ini lapor Malaysiakini.
Beliau berkata, bagi memastikan negara berbilang kaum seperti Malaysia makmur, beliau berkata tiada pilihan lain untuk Perdana Menteri selain Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini.
Jika pentadbiran pimpinan Anwar tumbang, satu-satunya pilihan yang ada ialah Perikatan Nasional yang menurut Loke bukan merupakan pilihan DAP.
“Jika hari ini kerajaan ini tidak berfungsi, jika kerajaan ini gagal, apakah pilihannya? Pilihannya ialah anda mendapat gabungan yang tidak mempercayai kepelbagaian budaya.
“Itu bukan pilihan bagi kita, setakat apa yang DAP tahu, jadi kita kena buat kerajaan ini berfungsi kerana kerajaan ini menjunjung fabrik masyarakat dan negara kita yang berbilang kaum dan Perdana Menteri komited kepadanya.
“Itulah sebabnya kami membuat keputusan yang kami buat,” kata Loke, yang juga Menteri Pengangkutan.
Leave a Reply