Tiga ‘panglima perang’ UMNO Johor akan sertai PN

TIGA ‘warlord’ atau panglima perang UMNO dari Johor bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Mereka merupakan tiga daripada 10 panglima perang UMNO yang disebut-sebut akan menyertai PN sebelum ini yang akan didedahkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun nama-nama mereka masih menjadi tanda tanya dan akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai.

Menurut sumber, ketiga-tiga bekas panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini, lapor Sinar Harian.

Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.

“Insya-Allah kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, kelmarin.

Laporan sebelum ini, menyebut selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara bakal menyertai PN.

Selain itu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga pernah mengesahkan terdapat lapan bekas pemimpin UMNO bakal menyertai gabungan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *