SEORANG kakitangan Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika membantu pemandu kereta yang rosak di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Menurut jurucakap JKSB, mangsa, Musyiri Bakar, 49, berada di kawasan berkenaan untuk membantu sebuah kenderaan Perodua Viva yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.
Bagaimanapun, katanya, sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda (Hilux) menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.
“Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah jurucakap itu, pihak JKSB masih menunggu siasatan lanjut daripada polis berhubung kejadian berkenaan.
Difahamkan, jenazah Musyiri akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung, Simpang Empat dekat sini untuk disolatkan dan dikebumikan petang ini.
Leave a Reply