Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

LETIH dan mengantuk ketika memandu dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan hingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 26 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu, namun bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol hasil saringan air kencing terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, kejadian itu berlaku selepas seorang wanita yang memandu kereta Perodua Viva memberhentikan keretanya di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 11.6 jambatan berkenaan kerana mengalami kerosakan kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

Ekoran itu, katanya, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

Bagaimanapun, jelasnya, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, sebuah lori datang dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelonsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

Lee Chong Chern

“Akibatnya, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

Jelasnya, penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala pemandu Perodua Viva berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *