LFL: Zahid ‘jamu’ Najib makan di penjara tak adil, persenda undang-undang

KERAJAAN hari ini dikecam berhubung layanan istimewa yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika mereka melawat Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang.

Menurut laporan MalaysiaKini, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata, peruntukan sedemikian untuk Najib dan tahanan VIP lain ‘hampir tidak pernah didengar’.

Katanya, layanan istimewa yang diberikan kepada Najib adalah satu penghinaan terhadap prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan yang diamanahkan untuk menegakkan Perlembagaan mesti menjawab bagaimana ini boleh dibenarkan.

“Tahanan dan banduan lain terpaksa bergelut untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya atau pembebasan sementara ehsan apabila kehilangan orang tersayang.

“Layanan terhadap tahanan dan banduan lain dianggap keji dan bersempadan dengan hampir tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Zahid semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu memaklumkan kepada perwakilan bahawa beliau dan Shamsul membawa makanan kegemaran Najib ketika melawat bekas perdana menteri itu dan sempat bersarapan bersama selama setengah jam. Berikutan itu, Zahid berkata dia juga meluangkan masa 90 minit lagi bersendirian dengan Najib.

Beberapa bekas banduan memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah di luar kelaziman kerana lawatan biasanya berlangsung antara 45 hingga 60 minit. Banduan dan pelawat turut dipisahkan oleh penghadang kaca dan makanan dari luar sama sekali tidak dibenarkan.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Zahid dan Shamsul Anuar mendapat kebenaran khas daripada Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Nordin Muhamad mengikut Peraturan 86 dan 99 Peraturan Penjara 2000.

Saifuddin berkata dia dimaklumkan mengenai kebenaran khas yang diberikan Nordin sebelum lawatan itu. Menurut Peraturan Penjara 2000, hanya menteri dan komisioner jeneral penjara yang mempunyai kuasa untuk mengetepikan peruntukan tertentu.

‘Jamuan mini’

Turut mempersoalkan lawatan itu adalah Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

“Pelbagai persoalan kini timbul. Antara yang paling penting adalah bagaimana pertemuan ini diluluskan?

“Tambahan pula bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksimum adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam penjara?” soalnya menerusi satu kenyataan .

Sambil mengecam Putrajaya, dia berkata, pertemuan dalam penjara dengan banduan atau tahanan lazimnya terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa.

“Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian sewaktu perayaan?

“Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin penghadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang,” soalnya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *