Oleh BADLISHAH MAT
MENGENAKAN jaket keselamatan yang sering digunakan kontraktor dan lagak mengawal lalu lintas antara taktik digunakan bagi mencuri kabel di sekitar Alor Setar, Baling dan Kubang Pasu.
Bagaimanapun modus operandi menyamar seperti kontraktor profesional itu akhirnya kecundang apabila polis berjaya menumpaskan kegiatan terbabit yang didalangi tiga kumpulan berbeza.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kumpulan penjenayah terbabit menggunakan taktik itu bagi mengaburi mata orang ramai terhadap tindakan mereka melarikan bahan berharga.
Malah, mereka juga menampakkan seolah-olah sedang bekerja menjalankan penyelenggaraan di lubang-lubang utama atau main hole yang mengandungi kabel bawah tanah.
“Tiga kumpulan yang ditumpaskan itu dikenali sebagai Geng Aji Lebai di Alor Setar, Geng Zali Black di Kubang Pasu dan dan Geng Ogy di Baling.
“Mereka ini memang memiliki kepakaran namun menggunakannya untuk tujuan salah, siasatan juga mendapati mereka tidak mempunyai kaitan antara setiap kumpulan terbabit, tetapi menggunakan modus operandi hampir sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar.
Fisol berkata, polis yang melakukan operasi memburu kumpulan tersebut berjaya menahan 15 suspek dipercayai ahli ketiga-tiga kumpulan serta sedang memburu enam lagi individu yang masih bebas.
“Kesemua mereka yang kini direman berusia antara 30 hingga 54 tahun dan salah seorang daripadanya merupakan warganegara China. Hampir kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.
“Dengan tertumpasnya tiga kumpulan ini, kita yakin telah menyelesaikan lapan kes kecurian kabel di Kedah melibatkan kerugian bernilai kira-kira RM150,000 kepada Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.
Fisol berkata, siasatan pihaknya mendapati pencuri kabel terbabit sering menyasarkan peralatan berkenaan yang tidak lagi digunakan termasuk di bawah tanah.
“Soalnya, bagaimana mereka dapat maklumat mengenai kabel-kabel itu sudah tidak digunakan? Belum sempat syarikat-syarikat terlibat membuat penyelenggaraan, sindiket ini sudah melaksanakan ‘kerja’ untuk mencuri kabel tersebut terlebih dulu.
“Oleh itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan syarikat terlibat telah berbincang agar kalau benar ada kerja penyelenggaraan di lokasi tertentu, mereka diminta maklumkan untuk memudahkan kami melakukan pemeriksaan di lokasi-lokasi lain yang mencurigakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seorang anggota polis patah kaki akibat dilanggar sebuah kereta dinaiki ahli kumpulan Geng Aji Lebai berhampiran Stadium Peremba dalam operasi pada Jumaat lalu.
“Anggota berkenaan terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri dan peluru tersebut mengenai salah seorang ahli kumpulan terbabit. Suspek kini sudah dibenarkan keluar wad dan direman bersama suspek lain untuk tindakan selanjut,” katanya.
Leave a Reply