Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
BEKAS Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang disebut-sebut seorang daripada tiga bekas panglima perang UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) ‘mengunci mulut’ apabila ditanya berkenaan perkara terbabit.
“Saya tak nak komen apa-apa dulu dan biarlah masa yang menentukan,” katanya yang tidak menafi atau mengiyakan beliau antara tiga panglima perang UMNO yang akan menyertai PN.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram ketika dihubungi berkata, apa yang mahu dilakukan ketika ini ialah mahu berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.
Ditanya sama ada pernah dihubungi atau didekati pemimpin PN, beliau mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin PN.
“Saya memang mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan pemimpin. Saya berkawan dengan sampai sekarang,” ujar beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri Johor semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh UMNO berkata, pemimpin parti itu kini sudah ‘tersasar’ daripada perjuangan asal.
Namun Maulizan mengakui tidak pernah menyalahkan parti atas penggantungan keahliannya.
“Parti tak salah, cuma pemimpin-pemimpin yang mengemudi parti sudah lari jauh daripada matlamat perjuangan asal,” katanya yang sebelum ini memberitahu, tidak pernah dipanggil lembaga displin parti atau diberi peluang membela diri berhubung tindakan penggantungan itu.
Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga panglima perang UMNO dari Johor itu adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam parti itu sebelum ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkenaan kemasukan 10 bekas panglima perang UMNO itu.
Leave a Reply