SEORANG wanita ditahan polis Pulau Pinang kelmarin selepas disyaki mencuri barang kemas milik ahli keluarganya sendiri bernilai RM90,000.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang juga saudara kepada suspek berhubung kehilangan barangan kemasnya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita itu menyedari barang kemas bernilai RM90,000 yang diletakkan dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya di Halaman Mayang 6, Bayan Baru, hilang 25 November tahun lalu.
”Pengadu membuat laporan polis pada Sabtu lalu dan suspek ditahan keesokan harinya.
”Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu telah mencuri barang kemas tersebut pada 5 November tahun lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek serta mangsa tidak tinggal bersama, namun suspek sering ke rumah ibu mentua mangsa.
Katanya, susulan penahanan wanita itu, polis merampas sebanyak 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram dan satu loket emas seberat 26 gram.
“Suspek kini direman selama tiga hari bermula 11 Jun bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply