Oleh RIZQI ZABIDI
TIGA termasuk seorang kanak-kanak melecur apabila kereta yang mereja naiki tiba-tiba meletup dan terbakar dalam kejadian di Taman Industri Ringan Sri Mergong dekat Alor Setar, hari ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar, kejadian itu mengakibatkan tiga individu berusia antara lima hingga 54 tahun melecur.
Katanya, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.31 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut telah dipadamkan oleh orang awam yang berada di situ. Pihak bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan api padam sepenuhnya. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dihantar ke Hopsital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 54 tahun melecur sebanyak 80 peratus manakala seorang wanita berusia 36 tahun melecur 30 peratus dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang turut berada dalam kenderaan itu melecur 95 peratus.
Mengulas lanjut Abdul Rahim berkata, kereta jenis Proton Wira itu didapati terbakar 60 peratus.
“Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.
Leave a Reply