PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini, yang mendapat pujian dari kedua-dua negara sebagai satu kejayaan menyelesaikan pertikaian maritim selama 18 tahun di Selat Melaka dan Laut Sulawesi, masih belum selesai.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia masih bertegas dengan tuntutannya di Laut Sulawesi serta bahagian paling selatan Selat Melaka.
“Perjanjian ini tidak termasuk kawasan yang masih dirunding termasuk di Pulau Sebatik di Sulawesi Selatan, kerana dalam memuktamadkannya, kita akan undang wakil Sabah, dan oleh kerana belum ada persetujuan, maka bab kecil ini belum lagi diselesaikan.
“Begitu juga, perjanjian ini tidak melibatkan kawasan had Pelabuhan Tanjung Pelepas, tidak termasuk sekali,” kata Anwar pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Rundingan untuk melengkapkan garis sempadan wilayah di Laut Sulawesi masih diteruskan.
“Saya beritahu Presiden Jokowi, Malaysia masih mempertahankannya sebagai milik Malaysia, dan menurut Jokowi, pakar-pakar dia sebut itu milik dia (Indonesia).
“Maka kita menangguhkan dan meneruskan perbincangan.”
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari Perikatan Nasional (PN) yang bertanya sama ada perjanjian itu ditandatangani dengan restu pakar maritim.
Sebelum ini media melaporkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Jun semasa lawatan Jokowi ke Malaysia menamatkan pertikaian sempadan maritim yang berlarutan antara kedua-dua negara jiran.
“Selepas 18 tahun rundingan… Alhamdulillahlah, ia akhirnya dapat diselesaikan,” kata Jokowi dipetik AP sebagai berkata pada sidang media bersama Anwar.
Dalam kenyataan bersama, Anwar dan Jokowi berkata, perjanjian Selat Melaka dan perjanjian Laut Sulawesi adalah antara enam instrumen yang ditandatangani oleh kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu berkata pemeteraian perjanjian itu melambangkan ‘hubungan harmoni dan persahabatan antara kedua-dua negara’ dan menyediakan asas kukuh untuk rundingan sempadan maritim pada masa depan.
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk menugaskan pasukan rundingan sempadan maritim mereka untuk memulakan rundingan secepat mungkin mengenai semua sempadan maritim yang tinggal dan tertunggak antara kedua-dua negara secara serentak,” tambah kenyataan itu.
Sehari sebelum perjanjian itu dimeterai, MalaysiaNow melaporkan pakar maritim mengingatkan Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu dengan Indonesia untuk menyelesaikan pertikaian itu, mengatakan Malaysia tidak mampu untuk berkompromi dengan sebarang penyelesaian yang merugikan negara.
“Jika Malaysia membuat sebarang kompromi, bukan sahaja Johor akan kehilangan wilayah lautnya, ia juga akan menghadapi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritimnya termasuk yang berkaitan dengan Pelabuhan Tanjong Pelepas,” lapor MalaysiaNow memetik sumber Wisma Putra dan diplomatik.
Mereka berkata Pelabuhan Tawau Sabah juga akan terjejas oleh sebarang perjanjian yang menyerahkan tuntutan Malaysia di Laut Sulawesi, sambil menambah pakar maritim membuat kesimpulan bahawa Malaysia boleh menuntut kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Johor.
Takiyuddin berkata, kerajaan langsung tidak mempedulikan pendapat pakar dalam menandatangani perjanjian itu.
“(Perjanjian ini) bukanlah langkah pro-aktif menyelesaikan pertikaian. tetapi lebih merupakan langkah kompromi yang kurang berhati-hati yang boleh merugikan usaha melindungi hak wilayah Malaysia dan menyentuh soal kedaulatan negara.”
Anwar dengan tegas menolak dakwaan itu, dan mempersoalkan siapakah pakar tersebut.
Beliau berkata, kerajaan sudah berunding dengan Kementerian Luar, Jabatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan serta peguam negara.
Anwar juga berkata Sultan Johor dimaklumkan bahawa pertikaian maritim tidak melibatkan wilayah Johor, tetapi hanya melibatkan Sabah.
Leave a Reply