KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak perlu tertekan dengan tekanan di peringkat antarabangsa dalam membendung isu berkaitan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, KDN perlu terus menggalas tanggungjawab itu mengikut lunas perundangan dan peraturan sedia ada yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan kita tertekan dengan tekanan antarabangsa. Sebagai contoh, hari ini saya baca Malaysia telah diletakkan sebagai negara kedua terburuk di dunia selepas menolak dan tidak menyokong secara terang-terang hak ke atas transgender.
“Ini laporan Indeks Hak Trans Global yang dikeluarkan baru-baru ini. Malaysia berada di tempat kedua yang terburuk.
“Ia mungkin dari satu sudut kita rasa agak kurang senang dengan laporan ini tetapi dalam kita berdepan dengan nilai yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kalau pun terpaksa kita menghadapi indeks yang buruk seperti ini, saya kira ia berbaloi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Fadhli berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2020.
Media melaporkan Malaysia diberi markah -105 dan penarafan serendah ‘F’ dalam Indeks Hak Trans Global, baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan pertanyaan mengenai hasil siasatan berhubung perarakan Hari Wanita pada Mac lalu, yang didakwa dicemari dengan kehadiran kumpulan tertentu dipercayai LGBT.
“Sayangnya sehingga sekarang kita tidak tahu apa status siasatan terhadap perkara tersebut.
“Walaupun KDN menyebut perkara ini sedang disiasat dan menteri siasat tetapi tidak tahu bagaimana perkembangannya,” ujarnya lapor Astro Awani.
Sebelum ini, polis dilapor membuka kertas siasatan melibatkan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sementara itu, Fadhli bersetuju dengan gesaan laporan SUHAKAM agar pendaftaran wajib dibuat melibatkan sekolah-sekolah tahfiz bagi mengelakkan penyalahgunaan khususnya aktiviti meminta derma.
“Kita minta mereka yang menyelia madrasah-madrasah tahfiz supaya tidak menjadikan kewujudan sekolah-sekolah tahfiz ini sebagai alasan untuk nak minta derma di merata rata tempat.
“Walaupun kita yakin bahawa sekolah tahfiz ini memerlukan kepada dana dan sokongan ramai, tapi saya agak kecewa dan agak rasa kurang senang apabila ada di stesen minyak, di tepi lebuh raya dan sebagainya, ada mereka yang memohon derma di atas nama kononnya sekolah tahfiz dan ini perlu untuk diawasi,” tambah beliau.
Leave a Reply