Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

PEMUDA maut semasa membantu seorang mangsa kemalangan apabila dia sendiri dirempuh kereta dalam nahas dua kenderaan di Jalan Song, Kuching sekitar jam 2 pagi tadi.

Mangsa, Jude Jimmy, 22, sedang membantu seorang pemandu kenderaan Perodua Myvi yang sebelum itu terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Jude bagaimanapun tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus RX 200t, yang dinaiki dua lelaki.

Insiden tersebut menyebabkan Jude mengalami kecederaan di kaki kanan.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.13 pagi dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, pasukan telah bertindak menstabilkan kecederaan Jude, sebelum mengeluarkan pemandu Myvi yang tersepit di ruang pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa, termasuk pemandu Myvi yang berusia 36 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Rawatan KPJ masing-masing untuk rawatan lanjut.

Pemandu dan penumpang pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Henderi lagi.

Kes katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *