2 bot, 8 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan asing serta lapan kru warga Indonesia kerana menceroboh perairan negara kelmarin.

Katanya, bot-bot itu dikesan di kedudukan 51 kilometer dan 55 kilometer barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang, pukul 10.13 pagi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mereka ditahan selepas Kapal Maritim Burau melakukan rondaan di bawah Op Pertiwi telah mengesan dan merapati bot berkenaan untuk pemeriksaan.

”Bot pertama dikesan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.

”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Indonesia bersama hasil perikanan kira-kira 400 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan oleh KM Burau pukul 10.30 pagi semalam yang mana pemeriksaan lanjut mendapati, empat kru warga Indonesia termasuk tekong berada di atas bot itu bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan 100 kg.

”Kesemua kru yang berada di kedua-dua bot berkenaan berumur antara 13 hingga 20 tahun dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua bot itu disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di dalam perairan Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.

Tambahnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sejumlah 500 kg ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut.

”Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *