PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinannya bahawa gabungan itu mendapat sokongan dari rakyat Negeri Sembilan yang kini berada bawah kepimpinan Pakatan Harapan.
Katanya, ia dapat dilihat melalui kehadiran puluhan ribu rakyat di negeri itu pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan malam semalam.
“Saya percaya gelombang kebangkitan ini akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada PN dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi.
“Ini kerana seluruh rakyat melihat dan merasai apa yang sedang berlaku dalam negara ketika ini.
“Kos sara hidup semakin menghimpit, harga barang keperluan harian naik dan terus menekan kehidupan, ringgit merudum dan ekonomi negara seolah-oleh tidak ada hala tuju,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor MalaysiaKini.
Beliau juga mendakwa bahawa sokongan itu berlaku kerana kerajaan campuran yang terdiri daripada PH-UMNO gagal membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Oleh itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menggesa supaya rasa tidak puas hati itu dapat diterjemahkan kepada undi, sebagai satu isyarat bahawa rakyat sedang marah dengan apa yang berlaku.
“Segala janji yang ditabur sewaktu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan walaupun sudah enam bulan menjadi kerajaan.
“Rakyat sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan saya ingin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri lain yang terlibat dalam PRN tidak lama lagi mengundi PN sebagai satu referandum bantahan rakyat kepada kerajaan campuran PH-UMNO kerana gagal mengurus negara,” katanya.
Bulan lalu, Muhyiddin menjangkakan PN mampu meraih sehingga 80 peratus undi terutama daripada pengundi Melayu pada PRN akan datang.
Ia berdasarkan kajian yang dibuat oleh gabungan itu yang menunjukkan Bersatu, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dan Pas mendahului dari segi populariti dan kepimpinan.
PRN akan melibatkan tiga negeri di bawah pimpinan PH – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta tiga lagi negeri pimpinan Pas – Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Leave a Reply