PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan senarai 10 ‘panglima perang’ (warlord) merangkumi individu yang disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat, pada program bersesuaian.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini barisan kepimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan itu.
“Insya-Allah kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini lapor Berita Harian.
Laporan sebelum ini, menyebut selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin disebut-sebut antara bakal menyertai PN.
Selain itu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga pernah mengesahkan terdapat lapan bekas pemimpin UMNO bakal menyertai gabungan itu.
Ditanya perkembangan Khairy yang dikatakan bakal menyertai PN, Hamzah berkata, biar perbincangan berlangsung antara bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga tersenyum ketika diajukan soalan sama ada Khairy mungkin bertanding sebagai calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PN) tidak lama lagi.
Leave a Reply