SEORANG wanita berusia 55 tahun rugi RM1.18 juta setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, yang dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon.
Menurut laporan polis dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu daripada seorang lelaki tidak dikenalinya yang mendakwa dari Putrajaya.
Pemanggil itu mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan, menurut laporan itu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada dua individu, kononnya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, yang menuduh mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.
“Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wangnya. Mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas namanya dan memindahkan wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang panik membuka tiga akaun bank di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun, kemudian memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000, ke dalam akaun bank baharu tersebut.
Wanita itu turut diarahkan oleh ‘lnspektor Khoo’ untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.
“Mangsa juga dikehendaki mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM (bagi akaun-akaun baharunya),” kata Mohd Azman.
Tambahnya, mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya, serta menghubungi pihak bank tentang transaksi terbabit.
Leave a Reply