KELANTAN dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini bagi membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengumuman tarikh itu dijangka dibuat selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis (Exco) Kerajaan Negeri Kelantan pada Rabu.
“Insya-Allah kita tunggu masa mesyuarat Exco minggu ini,” katanya, lapor Astro Awani.
Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut memaklumkan perkara sama.
“Tentang pembubaran, MB akan isytihar. Minggu ini dia isytihar tarikhnya. Tunggulah,” katanya.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dengan tujuh diwakili Ahli DUN (ADUN) UMNO, satu ADUN Bersatu dan selebihnya ADUN Pas.
Sebelum ini, Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, proses pembahagian kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional di enam negeri yang terlibat dalam PRN, hampir selesai.
Tempoh tamat penggal DUN Kelantan berakhir pada penghujung bulan ini.
Leave a Reply