Kor Ming

‘Pemuda UMNO perlu ‘move on’, lupakan kisah silam’ kata Kor Ming

PEMUDA UMNO perlu melupakan kisah silam, bergerak ke depan dan meninggalkan sebarang persengketaan serta permusuhan politik antara dua parti itu sebelum ini.

Sebaliknya kata Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mereka perlu fokus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut berharap supaya tidak sesekali merencatkan ‘momentum’ pencapaian yang berjaya diperoleh sepanjang tempoh enam bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana itu, saya dengan rendah hati memohon semua pengundi supaya mengundi parti yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya kita jangan mematahkan momentum yang kita susah payah hendak bina ini.

“Jangan patahkan momentum yang sudah pun ada ini, biarkan kita ada kestabilan politik dalam tempoh lima tahun. Bagi masa kepada kerajaan yang ada pada hari ini, selain kepada agensi kerajaan untuk mempamer dan melaksanakan apa yang kita mampu lakukan bersama.

“Kita sudah ‘move on’, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) pun sudah ‘move on’.

“Sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO membantu DAP untuk memperkukuhkan kerajaan Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kemudahan asas dan keperluan kemudahan awam serta infrastruktur berkaitan di Pasar Kampung Simee, Ipoh, hari ini.

Kor Ming mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menuntut permohonan maaf DAP serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.

Dr. Muhamad Akmal mendakwa tindakan tersebut berupaya melembutkan hati ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *