KEJAYAAN manis pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang memperoleh keputusan 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, bertukar duka apabila ibunya meninggal dunia akibat angin ahmar semalam.
Nenek saudara Muhammad Syahril, Zainab Othman, 58, berkata, pengorbanan Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, perlu dijadikan contoh terbaik kerana sanggup berkorban membesarkan enam anaknya seorang diri selepas pemergiaan suaminya pada 2012.
“Muhammad Syahril kehilangan bapanya ketika dia berusia tujuh tahun, jadi segala tugas itu digalas oleh ibunya untuk membesarkan anak-anaknya sehingga dia (Muhammad Syahril) berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
“Saya dan keluarga begitu kagum dengan pencapaiannya dan diharapkan hasrat Muhammad Syahril untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya akan tercapai,” katanya ketika ditemui di Kampung Kandis, Bachok, hari ini.
Turut hadir menziarahi keluarga Syahril ialah Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Mengulas lanjut, Zainab berkata, walaupun mereka hidup dalam sederhana namun ia tidak menghalang kesemua anak-anaknya untuk cekal dan tabah berbakti kepada arwah ibunya sehingga akhir hayat, lapor Bernama.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Muhammad Syahril sedaya-upaya cuba menutup cerita penderitaan keluarganya tetapi terbuka juga selepas dapat keputusan cemerlang SPM.
Ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 8.20 malam tadi.
Jenazah Allahyarhamah ibu pelajar itu dijangkakan disolatkan di Masjid Pondok Moden, Kandis sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati pagi tadi.
Ibu pelajar berkenaan terlantar selepas diserang angin ahmar pada 2019 sebelum semakin lemah empat hari sebelum keputusan SPM diumumkan.
Keadaan ibunya menyebabkan Syahril tidak sampai hati untuk meninggalkan ibunya bagi mengambil keputusan SPM.
Dia mencatatkan kuputusan 11A tunggal di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman dan diraikan warga sekolah yang hadir ke rumahnya untuk menghantar keputusan SPM sehingga videonya menjadi tular dalam media sosial.
Leave a Reply