PAS bertanding di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding lapan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, itu merupakan pembahagian kerusi bagi PRN di negeri itu dan pada asasnya sudah pun selesai.
“Kita minta DUN atau cawangan mengemukakan calon mereka yang diyakini siapa terbaik dan menjadi pilihan rakyat,” katanya pada sidang media Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di Kota Bharu, hari ini.
Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, calon yang dipilih oleh Pas adalah mengikut pilihan Ahli Majlis Syura Ulama.
Ketika ditanya sama ada calon yang mahu menarik diri termasuk di kerusi panas, Wan Roslan berkata, ada calon yang mahu menarik diri termasuk beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Ikutkan semua calon Pas mahu undur (tarik diri), saya pun nak undur, namun ini adalah pilihan parti dan kita perlu akur,” katanya.
Jelasnya, itu merupakan kelebihan Pas kerana calonnya ditentukan dan ditaklifkan (diberi amanah) oleh parti.
“Ini untuk kita bawa mesej yang baik dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat. Itu konsep Pas sebab itu tidak ada yang (calon) ‘berona’ (buat onar),” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply