UMNO sudi terima bekas ahli – Zahid

UMNO sudi menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung keahlian sekiranya tidak menyerang parti itu dari luar.

Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi  berkata, kelakuan mereka selepas dihukum akan menunjukkan sama ada mereka setia atau membinasakan parti.

“Kita mahu lihat selepas tindakan itu sama ada mereka benar-benar ‘orang parti’ atau gunting dalam lipatan. Kalau benar ‘orang parti’ mereka tidak berkokok di sana sini. Kalau sayangkan parti, mereka harus akur,” katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini, lapor FMT.

Ahmad Zahid berkata pimpinan parti sentiasa terbuka untuk menerima saranan para perwakilan tentang menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

Beliau turut mempertahankan tindakan yang diambil terhadap individu terbabit, mengatakan ia dilakukan secara profesional.

Sementara itu, pada sidang media selepas ucapannya, Zahid berkata rayuan bekas ahli akan diputuskan selepas meneliti laporan Lembaga Disiplin.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahlian enam tahun muncul di PAU 2023, dan meminta pimpinan parti membuat keputusan segera mengenai rayuannya.

Tajuddin mendedahkan beliau telah merayu tiga kali namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.

“Jangan lah buat saya macam budak-budak, saya pun ada maruah,” katanya, dan menambah rayuan terbaharu dibuat pada Mac. Beliau digantung keahlian pada Oktober, menyusuli kritikan-kritikan lantang terhadap kepimpinan Zahid.

Mengenai PRN di enam negeri, beliau yang Pengerusi BN berkata, beliau percaya parti itu akan  memperoleh lebih kerusi.

Katanya,  agihan kerusi itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“PRN di enam negeri, saya amat yakin insya-Allah kita akan memuktamadkan tentang pengagihan kerusi dan insya-Allah kita akan memperoleh kerusi yang sepatutnya dan melebihi PRU yang lepas,” katanya.

Pada PRU14, BN bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (56), Pulau Pinang (13), Kedah (36), Negeri Sembilan (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

Pada pilihan raya berkenaan, BN memenangi hanya empat kerusi di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Kedah, 16 di Negeri Sembilan, lapan di Kelantan dan 10 di Terengganu. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *