UMNO jangan sekadar pelengkap – Wakil Johor

UMNO Johor mengingatkan pimpinan bahawa pengundi tidak ada sebab untuk bersama UMNO sekiranya ia dilihat sekadar ‘pelengkap’ kerajaan perpaduan.

Wakil UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata pimpinan parti harus mencatur pemulihan parti menerusi Kerajaan Perpaduan, dan di sebalik apa jua penjajaran.

“Tidak ada sebab untuk orang Melayu memilih untuk dinaungi oleh UMNO, sekiranya peranan dan kedudukan Umno hanyalah sebagai parti pelengkap dalam kerajaan.

“Di sebalik apa jua penjajaran dan dinamika politik baharu UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan, ia mestilah disusuli dengan percaturan dan strategi jangka panjang yang ampuh untuk mengembalikan UMNO di puncak kekuasaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Noor Alleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor melihat peranan yang diberi kepada UMNOketika ini kelihatan seperti “pendekatan taktikal jangka masa pendek”.

“Ia bukan hala tuju yang kekal. Ia tidak sekali-kali menandakan kepasrahan UMNO untuk sekadar menjadi pelengkap, atau pemain tambahan, mahupun ‘second fiddle’ dalam arena politik,” katanya.

“UMNO Johor bertegas bahawa menjadi parti pilihan kedua, parti serpihan, parti kecil nan kerdil bertentangan dengan nilai, falsafah, sejarah, dan fitrah kejadian UMNO,’’ tegasnya.

  • *UMNO WP bagaikan ‘pembawa bunga Manggar’

SEMENTARA itu, UMNO Wilayah Persekutuan tidak terasa ‘kebersamaan’ kerajaan perpaduan yang diperkatakan muktahir ini, dengan ketiadaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemimpinnya tidak diberi peranan dalam pemerintahan.

Ketua Penerangannya Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, UMNO seakan ‘pembawa bunga manggar’ untuk kerajaan perpaduan di Wilayah Persekutuan, kerana ia tidak diberi upaya untuk menentukan dasar dan hala tuju bagi wilayah itu, mahupun menangani isu-isu yang tertangguh.

“Jawatan menteri dimansuhkan, jawatan senator untuk Labuan yang diperuntukkan diberi kepada orang yang tidak berkenaan, sehinggalah jawatan penting seperti ahli majlis perwakilan penduduk di setiap Parlimen yang diterajui Ahli Parlimen PH tidak dibincang dan diberikan kuota kepada UMNO.

“Inilah nasib kita yang lebih kepada penyeri majlis yang tidak boleh menentukan sebarang dasar…Padahal kita di Wilayah Persekutuan ada seorang naib presiden UMNO,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani, lapor portal FMT.

Muszaffar mengingatkan UMNO bahawa ia mewakili penyokong dan pengundi Melayu di Wilayah Persekutuan yang mahu ia menjuarai isu masyarakat itu.

Memandangkan betapa penting kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan ketika ini, beliau menggesa “satu-satunya Ahli Parlimen UMNO yang menang di dalam PRU15 lepas sepatutnya diberi peranan dan tempat yang penting dalam kerajaan.”

Beliau juga menuntut Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan agar isu-isu yang membelit wilayah itu, antaranya perumahan dan lalu lintas, dapat ditangani dengan punca kuasa dan peruntukan yang luas.

“Ditambah dengan kesibukan perdana menteri yang juga merupakan menteri kewangan dan selaku menteri wilayah persekutuan ‘de facto’, tidak mampu menumpukan perhatiannya dengan masalah, isu dan dasar buat Wilayah Persekutuan,” kata Muszaffar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *