SIASATAN ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukanlah satu tindakan yang dilakukan atas dasar dendam politik.
Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dilakukan mengikut lunas undang-undang dan profesional oleh pihak berkuasa.
Beliau menjelaskan, siasatan terhadap Sanusi juga dilakukan susulan ucapan pemimpin berkenaan yang didakwa menimbulkan keresahan kepada banyak pihak.
Saifuddin juga menjelaskan, sekiranya tiada tindakan diambil, kerajaan akan dilihat sebagai tidak mampu dan berani untuk menguatkuasakan undang-undang yang sebenar di negara ini.
“Kalau siasatan itu akan selesai, report polis akan diserahkan kepada Peguam Negara, kalau kata siasatan dianggap mencukupi baharulah proses pendakwaan (akan dijalankan), kalau tidak cukup (bukti atau lengkap siasatan), peguam negara akan hantar kepada pihak polis.
“Jadi (untuk waktu sekarang), biar mereka (yang bertanggungjawab) buat kerja dulu, kita tidak perlu komen (tindakan ini dilakukan atas) dendam politik, (jadi) tidak timbul benda itu.
“Apa yang jelas berlaku (adalah) di pihak (Menteri Besar), sebelum siasatan (beliau cakap) padam, ubah atau pinda Perlembagaan, selepas dipanggil polis, (beliau cakap) saya tidak kata pinda Perlembagaan, tidak usah (jangan) lah (seperti itu), stick to one statement sahaja, kata atau tidak, gesa atau tidak, (biar) perkara itu, (dan) biar polis siasat,” katanya lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena hari ini.
Saifuddin yakin Sanusi akan memberikan kerjasama yang baik dan profesional dalam siasatan yang dijalankan.
Rabu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Sanusi berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Menteri Besar Kedah itu di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Pada 29 Mei lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
Leave a Reply