Bekas Setiausaha Agung UMNO sekadar buat andaian punca sebenar BN kalah – Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membalas kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa UMNO tidak seteruk jika Putrajaya ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas PRN Melaka dan Johor.

Dalam kenyataan bekas Perdana Menteri itu menegaskan, punca sebenar kekalahan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat “andaian mudah” berlandaskan logik akal tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat Persekutuan kepada BN.

Berikut kenyataan penuh Ismail Sabri ;

Pagi ini media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa UMNO tidak seteruk ini jika pihak Putrajaya (Kerajaan pada ketika itu) ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. 

Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15). 

Unjuran UMNO pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk Kerajaan secara solo. 

Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat. 

Sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, saya mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang. Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19. Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen. 

Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan. 

Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15.  PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU. Keadaan politik negara amat dinamik. 

PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi Kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu. 

Inilah punca sebenar kekakalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *