TAN Sri Annuar Musa sah menjadi ahli Pas apabila permohonan beliau menyertai diterima oleh parti berkenaan.
Penerimaan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban malam ini.
Sijil keahlian Annuar yang pernah menjadi ahli UMNO selama 50 tahun itu disampaikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada program berkenaan.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menerima sijil keahlian Perikatan Nasional (PN) daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika berucap di program itu, Annuar berkata, keputusan untuk menyertai dibuat ketika beliau berada di Tanah Suci Mekah pada Ramadan lalu.
Katanya, langkah yang dianggap beliau bersejarah itu dilakukan selepas meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara, lebih-lebih lagi apabila mengenang realiti UMNO, bukan lagi sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat.
“Walaupun ada pemimpin-pemimpin yang dipecat kononnya sedia untuk bersama UMNO, (tetapi) saya nekad buat keputusan tidak kembali kepada UMNO. Realitinya UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat, UMNO bukan parti pilihan masa ini (malahan) bukan lagi parti mengutamakan perpaduan rakyat yang mahu menjaga agama, bangsa dan negara,” katanya.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO kini sebuah parti politik yang sedang ‘digonggong’ oleh Presidennya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sehingga menyebabkan parti itu menjadi penderhaka.
“Tiada sebab saya menghabiskan sisa usia saya, sisa keringat saya, harta benda saya untuk parti yang sedang ‘digonggong’ Presidennya yang boleh menyebabkan parti itu menjadi penderhaka kepada orang Melayu dan umat Islam,” katanya lagi.
Annuar berkata, beliau akan mengupas secara terperinci kenapa beliau menyertai Pas dalam program ceramah PN sempena PRN di enam negeri tidak lama lagi
Leave a Reply