PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengambil kesempatan mengecam dua parti Melayu yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Di hadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang hadir sebagai tetamu kehormat, Zahid menegaskan, UMNO bukanlah mengkarung politik.
‘’Kita biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa mengikut kepentingan. Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa tentang assabiyah.
‘’Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu. Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Mana perginya agenda RUU 355?,’’ katanya.
Walaupun tidak menyebut nama parti itu, kenyataan Zahid jelas ditujukan kepada Pas yang memperjuangkan RUU tersebut.
Sambil memetik ayat 41 dalam surah al-Baqarah, Zahid yang pernah didakwa membuat pakan sulit dengan Anwar sebelum PRU-15 berkata, peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah untuk kepentingan politik mereka.
‘’Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar,’’ katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut membidas Perikatan Nasional yang dianggap mempunyai ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil.
‘’Begitu juga dalam soal kalimah Allah. Kini mereka gegak gempita cuba menjadi juara, dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, telah menggadai kalimah Allah.
‘’Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun. UMNO dan wakil kita di dalam Kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan, dengan tegas menyatakan, kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.
‘’Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan. Berbanding dengan pimpinan Pas yang suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah,’’ katanya.
Beliau berkata, apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana.
‘’Melayu dan Islam bagi mereka. hanya topeng yang digunakan dalam persembahan politik,’’ katanya.
Leave a Reply