Trend kejatuhan UMNO sudah lama berlaku,cukup jelas

Oleh DATUK A.KADIR JASIN

KAAU kita kaji prestasi UMNO sejak empat atau lima Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, kita tidak akan tolak bulat-bulat ramalan parti itu “bungkus” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dan menuduh pihak-pihak yang membuat spekulasi itu dengki.

Atau macam kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkasi, kerana mahu melihat UMNO ranap.

Pada 5 Jun lalu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata UMNO akan “bungkus” dalam PRN di enam buah negeri tidak lama lagi. Kita tolak sebelah sentimen kelompok yang Mohd Puad gelar sebagai “kluster gantung dan pecat” itu. Kita teliti fakta.

Perangkaan keputusan PRU dan PRN secara sahih mempamerkan aliran kejatuhan UMNO yang berlaku secara berterusan sejak hampir satu setengah dekad sehinggalah tewas dalam PRU 2018 dan bertambah tenat dalam PRU November lalu.

Calon-calon UMNO umumnya bertanding di kawasan-kawasan yang tidak ramai pengundi. Oleh itu, undi yang diperoleh tidaklah banyak.

Sejak maklumat mengenai peratus undi yang diperoleh oleh parti-parti mula disiarkan dalam domain awam, perangkaan menunjukkan undi paling tinggi dicapai oleh calon-calon Umno adalah 35.71 peratus, iaitu dalam PRU Ke-11 pada 2004. Maksudnya, daripada setiap 100 orang yang mengundi, hanya 35 atau 36 memilih calon-calon Umno.

Sokongan ini jatuh kepada 29.9 peratus dalam PRU 2008, 29.32 peratus pada 2013, 20.9 peratus pada 2018 dan 16.43 peratus pada 2022.

Manakala orang bukan Melayu sudah lama menolak Barisan Nasional (BN) dengan tidak mengundi MCA, MIC dan, sebelum itu, Gerakan, orang Melayu juga menyisihkannya secara berterusan.

Usaha menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi ruang bernafas kepada UMNO tidak dijangka membawa hasil besar. Usaha tersurat dan tersirat telah dan sedang dilakukan sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi melemahkan PN, namun ia mungkin tidak memadai untuk memulihkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO.

Dalam PRU November lalu, Pas dan Bersatu memperoleh 38.11 peratus undi berbanding 16.43 peratus oleh Umno.

Daripada enam buah negeri yang akan mengadakan PRN, tiga diperintah oleh PH dan tiga oleh PN. Boleh dikatakan di semua enam buah negeri itu, kecuali Negeri Sembilan dan Terengganu, UMNO sangat lemah.

Kesimpulannya, trend kejatuhan sokongan kepada UMNO sudah lama berlaku dan cukup jelas. Kekalahannya dalam PRU 2018 dan 2022 adalah bukti yang tidak boleh dipertikai.

Seperti kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sendiri, “warlord” parti tidak mahu berubah kerana sayangkan jawatan. Dan inilah antara punca UMNO sukar untuk berubah.

Kalau UMNO tidak berubah untuk menjadi lebih baik, macam mana orang Melayu hendak berubah selera untuk kembali menyokongnya?

*DATUK A.KADIR JASIN adalah Wartawan Veteran dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST.

*Artikel ini dipetik daripada FACEBOOK beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *