‘’Tiada masalah lantik jadi exco tapi UMNO kena menang dulu’’ – KM Pulau Pinang

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata tiada masalah untuk DAP melantik wakil UMNO sebagai Exco kerajaan negeri tetapi parti itu terlebih dahulu perlu menang kerusi yang ditandingi dalam PRN.

Katanya, sekiranya tiada wakil UMNO yang menang dalam PRN nanti kerajaan negeri tidak mempunyai undang-undang untuk melantik Exco baharu yang bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Ia tertakluk kepada keputusan, jika tiada orang (wakil UMNO) menang, mereka tidak dapat berada dalam barisan exco sebab kita tidak ada undang-undang untuk melantik ahli baharu tanpa menang dalam pilihan raya (negeri).

“Ini hakikat politik, UMNO perlu menang,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Program The Stem Talent Development Initiatives By Persatuan Alumni Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucian di Pulau Pinang.

Chow mengulas desakan Presiden UMNO Zahid Hamidi yang mengingatkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim supaya melantik wakil Umno ke exco kerajaan di negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu selepas PRN akan datang.

Zahid memberitahu Anwar bahawa Umno akan mempertahankan penguasaan PH di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, walaupun tiada wakil UMNO dalam exco tiga negeri itu meskipun bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Anwar jangan lupa kita mahu wakil UMNO dalam ketiga-tiga kerajaan negeri itu,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena perhimpunan agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Chow berkata, tiada masalah melantik wakil UMNO sebagai Exco negeri kerana ia selari dengan permuafakatan yang dicapai untuk menubuhkan kerajaan perpaduan selepas PRU15 lalu.

“Jadi permuafakatan dan kerjasama ini akan diteruskan menjelang PRN dalam keenam-enam negeri ini, ia tertakluk kepada keputusan (PRN).

“Maka apa yg dinyatakan oleh presiden UMNO merupakan satu kenyataan yang menggambarkan senario politik terkini yang membawa parti-parti dalam satu gabungan baharu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *