JKDM Pulau Pinang rampas arak, gaharu cuba elak cukai

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas minuman keras pelbagai jenama dan beberapa bungkusan plastik berisi kepingan kayu spesis gaharu atau ‘agarwood’ dalam dua pemeriksaan berasingan bulan lalu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, dalam pemeriksaan pada 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.05 malam, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) melakukan pemeriksaan terhadap bagasi milik seorang penumpang warga asing di Balai Ketibaan Antarabangsa lapangan terbang itu.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, sebanyak tiga bungkusan plastik seberat 12.08 kg berisi kepingan kayu spesis gaharu disyaki tidak berkastam bernilai RM33,930 dengan cukai sebanyak RM1,696.50 telah dirampas.

Jelas beliau, siasatan mendapati, kepingan kayu itu dibawa masuk dari negara jiran bagi tujuan ibadat.

“Ketika ini, siasatan telah selesai dan penumpang terbabit telah dikompaun serta diarahkan membayar cukai terlibat manakala barang dagangan dirampas dan dilucut hak untuk pelupusan,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Menuruut Hamisan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam (larangan) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 (mana lebih besar) atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, menurut Hamisan, dalam pemeriksaan pada 29 Mei pula, sebanyak 4,008 botol minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM423,367.50 dengan cukai sebanyak RM694,211.37 turut dirampas.

Jelasnya, rampasan dilakukan pasukan Kastam Unit Marin Pulau Pinang di sebuah rumah di George Town yang mana dua suspek lelaki tempatan masing-masing berusia 40 dan 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, rumah tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman-minuman keras yang disyaki tidak berkastam sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import.

Tambahnya, selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat kastam terdekat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *