DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan pada 28 Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu diadakan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam masa terdekat.
“Tarikh pembubaran DUN kita bercadang pada 28 jun ini, kita akan jumpa dengan TYT, kita akan atur (pertemuan itu nanti),” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.
Menurut Kon Yeow, tindakan seterusnya akan dilakukan selepas segala urusan berkaitan selesai.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang bagi membolekan PRN negeri itu diadakan.
Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan membubarkan DUN pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, justeru perlu mengadakan PRN.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, PH kini menyerahkan kepada Majlis Presiden PH bagi memuktamadkan rundingan dan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN kelak.
“Saya rasa ini (keputusan rundingan kerusi) sekarang diuruskan di peringkat kebangsaan.
“Di negeri kita serahkan untuk buat keputusan muktamad di peringkat kebangsaan, persetujuan adalah Pusat buat keputusan muktamad, akan ada pertemuan selepas ini yang akan terus continue (berlangsung),” katanya.
Leave a Reply