DAP perlu memohon maaf kepada UMNO atas segala tohmahan terhadap parti itu kerana ia mengguris hati semua ahli sehingga kini.
Ketika membuat desakan itu, Ketua Pemuda UMNO Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, permohonan itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan UMNO supaya memilih mereka pada PRN akan datang.
“Kalau mahu hati orang (Melayu ) lembut, DAP perlu mohon maaf dengan tohmahan dibuat sebelum ini kepada UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Ketua Pemuda UMNO di persidangan tahunan pergerakan itu di Kuala Lumpur hari ini.
Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO turut menuntut DAP membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
“DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centrict’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.
“Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada UMNO dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya.
Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau faham dalam UMNO ramai yang risau apabila parti itu bersama DAP.
” Saya faham, dalam rumah kita ini, ada yang resah, ada yang gelisah. Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba.
”Ada yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan, risau sawah sejalur tinggal sejengkal, tanah sebidang mudah terjual. Risau bila bersama DAP, keris UMNO terperosok ke bumi. Risau bila bersama DAP, UMNO diam terbisu, kampung tergadai,” katanya.
Dr.Muhamad Akmal menegaskan, dalam bahasa mudahnya, akar umbi risau, bila bersama DAP, UMNO sudah tidak boleh bercakap pasal hak istimewa orang Melayu, UMNO tak boleh bercakap soal kedaulatan raja-raja, UMNO tak boleh tuntut isu agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu dan Bumiputera.
”UMNO kena patuh dan ikut telunjuk DAP. Ini yang orang UMNO risau. Hari ini, Pemuda UMNO ingin tegaskan kita bersama Kerajaan Perpaduan adalah atas faktor titah Yang di-Pertuan Agong untuk kestabilan negara. Kita bersama untuk membentuk kerajaan.
”Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan. Kalau ada yang berani melintas, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas,” tegasnya.
Beliau berkata, UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP, dan tidak pernah minta DAP menjadi UMNO dan Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP.
”Ini sumpah dan ikrar Pemuda, kita takkan sesekali berkompromi,” katanya.
Dr.Muhamad Akmal yang mengimbas kembali bagaimana UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan turut menegaskan, Pemuda mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan, menjadi parti yang membela nasib Melayu, pertahankan Islam dan menjunjung kedaulatan raja.
”Kita mahu UMNO dalam kerajaan perpaduan ini berfungsi sebagai penjaga, pelindung dan Melayu, Islam dan Bumiputera, tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain.
” Kalau ada ada mana mana pihak yang cuba, waima terlintas walau sedikit pun untuk mengganggu gugat agama, bangsa dan institusi raja, tengok muka ini, tengok muka Pemuda-pemuda ini, langkah mayat kami dulu,”katanya.
Leave a Reply