DAP tak perlu minta maaf – Zahid

TIDAK sampai beberapa jam, Ketua Pemuda UMNO, Dr.Muhamad Akmal Saleh mahu DAP meminta maaf kepada UMNO atas tohmahan yang pernah dilemparkan ke atas parti, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan semula.

Tegasnya perkara itu ktelah dibincangkan beberapa kali ketika fasa rundingan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Perkara itu tidak perlu timbul lagi (permohonan maaf) kerana mereka (DAP) telah nyatakan perkara ini beberapa kali malah dalam rundingan kita membentuk kerajaan.

“Perkara ini menjadi syarat utama kepada kita dan mereka setuju seratus peratus jadi tidak perlu ulangi perkara yang telah mereka persetujui,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, lapor Astro Awani.

Ahmad Zahid pada masa sama berpendapat, isu berkenaan sengaja dimainkan pihak tertentu yang tidak senang duduk melihat kestabilan politik yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut berkata, isu berkenaan juga telah menerusi fasa penjelasan terhadap peringkat akar umbi dalam memahami kerjasama yang sedang dibentuk ketika ini.

“Kita mempunyai prinsip bahawa kerjasama ini antara BN dan PH maka asas inilah yang terbentuknya kerajaan ketika ini.

“Jangan terbuai dengan permainan pihak-pihak yang tidak senang dengan kewujudan apatah lagi kestabilan kerajaan sekarang kerana hakikatnya kebersamaan BN dan PH ini telah terbentuk dengan keserasian yang semakin bertambah.

“Mungkin di peringkat akar umbi itu kita mempunyai kaedah-kaedah tertentu untuk kita lakukan penjelasan di dalam sesi ‘townhall’ oleh Ketua Penerangan, perkara ini telah jelas malah penjelasan kronologi oleh Setiausaha Agung juga jelas maka perkara ini tidak timbul lagi,” katanya lagi.

Dr Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan dasarnya hari ini menggesa DAP untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Gesaan itu katanya bagi membuktikan keikhlasan DAP dalam bekerjasama bersama UMNO selain usaha untuk melembutkan hati parti itu khususnya orang Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *