DATUK Seri Mohamad Hasan malam ini mengajak ahli UMNO bermuhasabah, dengan menegaskan parti itu seolah-olah hilang fokus kepada kesusutan dan kesengsaraan yang dilalui masyarakat Melayu.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO juga gagal menampilkan penyelesaian yang bernas untuk kaum itu.
Berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Putra, Mohamad berkata masyarakat Melayu mahu tahu apa sebenarnya rencana UMNO untuk mereka, dari segi ekonomi, pendidikan, dan sosial yang masih lagi dikatakan tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.
“UMNO mesti ada jawapan untuk semua ini dan jawapan UMNO tidak boleh ‘piecemeal’, juga secara ‘ad hoc’,’’ tegasnya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata UMNO mesti melibatkan pemikir terbaik negara untuk membantu usaha menghasilkan rangka tindakan agenda Melayu baharu itu.
“Jangan asyik dengan pelbagai konvensyen politik, tetapi lohong dalam kandungan dan intipati. Yang akhirnya, menyaksikan kita mendengar syarahan daripada tokoh yang sama, manakala kita pula bercakap antara sesama kita sahaja,”katanya.
Sehubungan itu Mohamad berkata, UMNO perlukan suatu blueprint baharu agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman, untuk kelangsungan parti itu.
Kata beliau, jika UMNO mahu meyakinkan masyarakat Melayu bahawa ia mempunyai rencana yang jelas untuk mereka, ia perlu mulakan langkah berani dan tegas dengan suatu rangka tindakan agenda Melayu yang moden dan maju.
“UMNO nampaknya belum berjaya menampilkan agenda yang lebih progresif untuk bangsa Melayu. Empat tahun terbiar begitu sahaja, setelah dihambat pelbagai kemelut politik tanahair,” katanya.
Mohamad berkata rangka tindakan itu harus menunjukkan UMNO sedar masalah yang melingkari masyarakat Melayu, serta memaparkan strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka.
“Hanya dengan sedemikian, kita dapat membezakan diri kita daripada mereka yang menunggang agama dan bangsa.Yang wujud hanya sekadar bermain sentimen agama, dan perkauman yang sempit, demi kelangsungan politik,’’katanya.
Leave a Reply