Oleh RIZQI ZABIDI
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan kononnya beliau tidak beradab dan tidak bersopan sepanjang menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan selama ini.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri itu berkata, semua pihak harus membezakan peranan dimainkannya selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar dalam membuat penilaian.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan bahawa Menteri Besar lain ada sopan dan adab dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan. Saya tak tahu ukuran diambil dari mana tetapi sepanjnag hubung government to government (G2G), hubungan saya dan Perdana Menteri adalah teratur, bersopan, beradab dan bertatakelola.
“Ada pun ceramah, ucapan dalam kempen pilihan raya itu adalah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya. Saya tengok semasa ceramah pilihan raya Perdana Menteri pun sakan juga dan ada keluar macam-macam perkataan seperti bodoh dan bangang.
“Saya tak ambil kenyataan itu sebagai ucapan Perdana Menteri sebaliknya itu adalah ucapan Presiden parti yang berkempen dalam pilihan raya. Jadi jika diambil ucapan dan tindakan saya sebagai ketua pengarah pilihan raya yang bersaing dlm sistem demokrasi di medan politik untuk diletak dalam kasut Menteri Besar, itu satu penilaian tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Ketika menjawab soalan tambahan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri berkata, beliau sudah empat kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu selain telah meluluskan kebanyakan peruntukan diminta Menteri Besar Perlis kerana perkara tersebut, ditanya secara sopan dan beradab melibatkan hubungan antara negeri dan Persekutuan.
Kenyataan dibuat Perdana Menteri itu bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan mengapa tiada pertemuan berlaku antara Perdana Menteri dengan Muhammad Sanusi ketika Menteri Besar Kedah itu sudah tiga kali menghantar surat untuk bertemu.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, sebagai Menteri Besar, beliau telah memenuhi garis panduan seperti mana telah dalam sumpah jawatan antaranya memelihara kepentingan negeri ini.
“Itu sumpah saya dan tak ada saya buat ucapan di luar tatasusila seorang pemimpin negeri apabila memakai kasut dan topi selaku Menteri Besar. Jadi apabila diambil kerja saya yang lain (selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN) dan diletak dalam kasut saya sebagai Menteri Besar, itu tak adil.
“Lebih-lebih lagi perkara itu diucapkan di Parlimen dengan saya tiada di situ untuk menjawab. Jadi perlu saya jelaskan, watak-watak yang ada di media sosial dan di mana-mana tempat sekali pun, adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti serta fungsi saya sebagai Menteri Besar,” katanya.
Leave a Reply