Pertahan Kerajaan Perpaduan matlamat politik UMNO – Tok Mat Hasan

MEMPERTAHAN dan menjayakan Kerajaan Perpaduan adalah matlamat politik UMNO waktu ini dengan menggembleng segala kepakaran dan pengalaman yang dimiliki parti, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata usaha menjayakan Kerajaan Perpaduan sangat penting kerana UMNO mesti melakukan perkara yang betul untuk tanah air.

“Telah empat tahun Malaysia terumbang-ambing, tanpa matlamat jelas dalam bernegara dan berbangsa. Masakan kita mahu membiarkan ia berterusan.

“Justeru, kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini, untuk membezakan UMNO dari parti politik lain bahawa kita bukan sekadar punya iltizam. Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serentak yang turut dihadiri tiga Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kedudukan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan telah membuka potensi baru untuk parti.

“UMNO dan BN sedang melalui ‘eksperimen politik’ yang sangat penting. Panggillah apa pun. Jajaran baru, koalisi baharu, persefahaman baharu. Yang jelas, ia adalah haluan politik yang ‘business as unusual’ iaitu pembentukan persefahaman politik yang berasaskan perpaduan dan kepentingan nasional.

“Jika selama berpuluh tahun, UMNO telah terbiasa dengan persefahaman politik ‘to rule’, namun, trend yang kita lalui waktu ini pula ialah ‘to unite and to govern’. Kita melihat kemunculan politik kerjasama dan muhibah, politik perpaduan, politik permuafakatan,” katanya.

Menyingkap kembali penyertaan UMNO untuk membentuk kerajaan, Menteri Pertahanan itu berkata bersandarkan realiti dan kedudukan bahawa parti telah tewas, kepimpinan UMNO telah melakukan ijtihad politik untuk bersama Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita menyedari betapa kecilnya pengaruh kita di mata pengundi dan untuk survival UMNO, kita mesti mencari jalan menjadi sebahagian dari kerajaan. Dengan kehendak Allah, UMNO dan BN yang cuma mempunyai 30 kerusi, ditakdirkan menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *