Oleh BADLISHAH MAT
PESURUHJAYA Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan pihak tertentu lebih berminat untuk menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berbanding berbahas isu sejarah yang dipertahankannya.
Pada masa sama, Ahmad mengakui memang terdapat usaha untuk membunuh karakter Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Malah, kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
“Kerajaan negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.
“Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah selain kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berkata, polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap kenyataan dibuat Muhammad Sanusi serta sebahagian laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara.
Tidak lama kemudian, Muhammad Sanusi mengakui pihak berkuasa sudah menghubungi beliau dan bersedia memberi kerjasama 1,000 peratus terhadap siasatan dijalankan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi itu dan pemilikan Pulau Pinang adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputar belit selain mempunyai sokongan kajian yang kukuh.
Tambahnya, langkah mempertahan naratif sejarah berkaitan perkara itu bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.
“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini,” katanya.
Kata Ahmad, Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu itu tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.
“Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara,” katanya.
Leave a Reply