Kerjasama DAP ‘masalah besar’ pada PAU

PENGERUSI Tetap Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan menyifatkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) terutama seteru lamanya, DAP, akan menjadi masalah besar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini.

Masalahnya kata beliau, adalah untuk memahamkan akar umbi tentang dinamik politik kerana kedua-dua UMNO dan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Katanya, parti perlu faham bagaimana untuk meletakkan dirinya bersama Pakatan Harapan (PH).

Sambil berkata DAP dan UMNO suatu ketika dahulu perlu menjadi saingan masing-masing untuk kekal relevan dalam politik, beliau menambah: “Sekarang kita bekerjasama, kita perlu memperhalusi (hubungan) dari segi bagaimana kita boleh bekerjasama dan menyelesaikan pertelingkahan sebelum ini.”

Beliau seterusnya memetik keengganan sayap itu mengundang rakan sayap dalam PH ke perhimpunan agung sebagai contoh isu yang perlu diselesaikan agar tidak berbangkit lagi.

“Isu-isu sebegini adalah yang perlu kepimpinan buat akar umbi faham,” katanya, lapor FMT.

Wan Agyl berkata, orang Melayu sensitif terhadap perkara tertentu, dan langkah secara tidak semena-mena menyeru akar umbi menyokong saingan tradisi ‘tidak boleh diterima’.

Katanya, satu lagi isu yang akan dibangkitkan ialah hala tuju kerajaan, khususnya dalam membina semula negara selepas bertahun-tahun mengalami ketidakstabilan politik.

Pemuda UMNO akan bersikap kritis terhadap dasar berkaitan ekonomi, pendidikan dan kesihatan, tambahnya.

Wan Agyl berkata, dengan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir, peruntukan kerusi juga akan dibincangkan.

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara percaya kepimpinan UMNO perlu bijak memilih naratif pada PAU, jika berhasrat memujuk akar umbi untuk mengundi calon DAP pada pilihan raya akan datang.

DAP masih menjadi subjek tabu bagi kebanyakan ahli UMNO, katanya.

“Tiada gunanya kata ‘DAP baik’, ‘DAP kawan UMNO’ untuk memujuk ahli (mengundi DAP) kerana permusuhan antara kedua-dua (parti itu) terlalu mendalam untuk naratif seperti itu,” katanya.

Azmi percaya UMNO harus membenarkan ahli bersuara menentang DAP untuk meringankan impaknya.

“Naratifnya mestilah bahawa UMNO sanggup melawan DAP walaupun (parti itu) sebahagian daripada kerajaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *