Oleh BADLISHAH MAT
DAP didakwa cuba menakutkan penyokong mereka sendiri khususnya di Pulau Pinang apabila mencipta naratif kononnya Kedah ingin menuntut semula negeri berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, serangan yang ditujukan kepadanya berhubung isu tersebut adalah politik perkauman sempit daripada DAP.
“Itu tujuan politik DAP untuk menakutkan penyokong DAP bahawa kalau tidak undi DAP, negeri ini akan diambil alih oleh Kedah. Itu naratif DAP, itu (ciri) politik DAP (yang berasaskan) perkauman sempit untuk menakutkan orang Cina khususnya.
“Saya rasa DAP ini (kita) kena tolak buang. Tak aman Malaysia kalau DAP menang lagi. Orang Melayu pun takut kepada DAP tak tentu punca,” katanya dalam sidang akhbar selepas memberi keterangan kepada polis di Wisma Darul Aman, hari ini.
Muhammad Sanusi disiasat oleh pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman berhubung kenyataannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah pada 29 Mei lalu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan, beliau tidak bimbang dengan siasatan polis terhadap dirinya kerana mempunyai hujah dan bukti atas setiap kenyataan yang dibuat.
“Saya telah beri kerjasama yang baik dalam siasatan polis. Saya tak bimbang kerana semua kenyataan saya ada sandaran berdasarkan dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada polis,” katanya.
Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar penjelasan yang dikemukakan dengan teliti dan memahami isu yang dibangkitkan.
“Ketika saya bertemu beliau di LIMA 2023 dan sambutan Aidilfitri Madani di Alor Setar, saya bersederhana. Watak saya memang macam itu, orang Kedah asli, bahasa Kedah.
“Saya rasa Anwar faham, tetapi buat-buat tak faham kerana dia bimbang dengan DAP. Semua tindakan beliau kerana dia risaukan DAP.
“Kalau dia buat pertimbangan dengan adil, saksama sepertimana yang disumpahkan sewaktu mengangkat jawatan Perdana Menteri, beliau akan layan surat saya dengan adil, walaupun berbeza parti politik,” jelasnya.
Leave a Reply