‘’Nak perbetulkan sejarah…yang hangpa report polis pasai apa’’ – Sanusi

KENYATAAN  Pulau Pinang adalah milik Kedah bukanlah mempertikaikan kedaulatan sebuah negeri dan bukan juga sentimen politik, tetapi membetulkan sejarah yang telah dijulingkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau bercakap mengenai kepentingan negeri Kedah dan bukan kepentingan peribadi dirinya apabila memperkatakan mengenai perkara itu.

“Ada banyak negara di dunia ini kalau kita bercakap tentang sejarah, dia adalah sebuah negara lain, dari sudut sejarahnya. Ada sejarah yang dilupakan, tetapi ada juga sejarah yang dijulingkan. Sejarah yang dijulingkan ini adalah untuk meraih kepentingan pihak-pihak tertentu yang menulis sejarah itu, dipesongkan fakta-faktanya supaya pada masa depan dan pada masa itu faedah boleh dekat diri dia.

“Yang menulis sejarah Tanah Melayu ini Inggeris, British untuk kepentingan British. Tapi akhirnya bila anak Melayu anak-anak Malaysia ini mula belajar, mengkaji, membaca, menggali bahan-bahan, kita dapati British banyak menipu, British banyak berbohong,” katanya lapor Harakah Daily.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ketika berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang dań  Pelancaran Jentera PN  di Kubang Semang, di Permatang Pauh malam kelmarin.

Tegasnya,  semasa Britisih sedang menjajah negara ini tiada sesiapa berani mempertikaikan British mengaut begitu banyak hasil mahsul bumi Tanah Melayu ini dibawa balik untuk kepentingan mereka.

“Tak ada siapa cakap pada masa itu, pasal takut. British ada kuasa, dia boleh buat macam-macam. Tapi setelah kita merdeka, kita belajar, hantar anak-anak kita jadi pandai, kita telah menerima dan mengakui.

“Bahawa sewaktu British memerintah negara ini, sekian banyak bijih timah dikaut daripada Negeri Perak, dibawa ke England, betul ke tidak? Pada masa British memerintah, ada siapa berani bercakap? Tak ada. Dia pulas Raja-raja Melayu di Perjanjian Pangkor 1824, Sultan Abdullah pada masa itu minta campur tangan British masuk kerana perebutan dengan Long Jaafar, kawasan bijih timah, last sekali British masuk campur di Negeri Perak.

“Itu bermulanya era pemerintahan British di Perak Tanah Melayu, pasal berebut bijih timah. Pada masa itu tak ada siapa kata apa, pasal depa takut dekat British. Pasal tiap-tiap orang yang terlibat dalam sejarah, ada kepentingan diri,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, sebagai individu yang diberi amanah ke atas negeri, beliau mesti melurus dan membetulkan sejarah telah dijulingkan itu berdasarkan dokumen, rujukan dan fail-fail yang dibuka semula.

“Apakah salah benda-benda yang benar diungkap kembali untuk memperbetulkan sejarah? Salah ke tak salah? Yang hangpa pi report polis itu pasal apa? Hal ini hal akademik, hal berkaitan dengan dokumen-dokumen yang  boleh menjadi sandaran-sandaran,” tegasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *