Kit Siang ucap terimakasih kepada Agong atas anugerah Tan Sri

AHLI politik veteran Tan Sri Lim Kit Siang menzahirkan penghargaannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepadanya.

“Saya amat menjunjung kasih kepada (Yang di-Pertuan) Agong dan merasakan ia satu penghargaan,” kata Kit Siang ringkas kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023, bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Dalam hantaran di akaun Facebooknya pula, Lim, 82, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas ucapan tahniah yang ditujukan kepadanya, namun meminta supaya beliau dipanggil ‘Kit’ saja.

“Terima kasih pada semua atas ucapan tahniah. Saya masih suka jika semua cuma memanggil saya dengan nama Kit,” kata Lim lapor BERNAMA.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, 68, yang turut dikurniakan Darjah Kebesaran PSM membawa gelaran ‘Tan Sri’ menyifatkan anugerah itu sebagai penyuntik semangat kepadanya untuk berbakti kepada negara.

“Alhamdulillah, saya menjunjung kasih kepada Tuanku (Al-Sultan Abdullah) atas perkenan mengurniakan pingat Tan Sri kepada saya, dan ini akan memberikan saya semangat untuk berbakti lebih lagi kepada negara, bagi memastikan keadaan negara lebih baik dari sekarang.

“Seperti yang Perdana Menteri katakan bahawa dia sedang bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat mula faham mereka, dan saya di belakang untuk membantu merealisasikan apa yang diharapkan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui media, selepas istiadat tersebut.

Johari yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 19 Dis 2019 merupakan antara 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi hari ini.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan dan mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Sementara itu anak sulung Nik Aziz, Nik Aini turut menzahirkan kesyukuran atas pengurniaan Darjah Kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri kepada Allahyarham bapanya.

“Syukur Alhamdulillah pada Seri Paduka atas pengurniaan yang diberi dan pihak keluarga saya amat berbesar hati dan mengucapkan berbanyak menjunjung kasih kepada Tuanku,” katanya.

Nik Aziz yang juga bekas Mursyidul Am PAS, meninggal dunia pada Februari 2015.

Penyanyi dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Datuk Irwan Shah Abdullah @ DJ Dave yang dianugerakan Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk, berkata penganugerahan dari Seri Paduka membuatkan dirinya akan berkerja dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Saya akan terus berkhidmat untuk negara dan membantu sesiapa yang memerlukan bantuan khususnya artis-artis di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *