Khairy pertimbang tubuh parti baru

KHAIRY Jamaluddin terus mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan, beliau sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

“Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut.

Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya  katanya pada siri terbaru podcast Keluar Sekejap hari ini, lapor Malaysiakini.

Khairy berkata menyertai parti baru memerlukannya menyesuaikan diri dengan cara parti itu melakukan sesuatu, yang mungkin tidak sejajar dengannya dan terpaksa membuat pelarasan serupa apabila menyertai UMNO.

Bagaimanapun, Khairy bersikap realistik tentang cabaran yang mungkin berlaku jika mahu menubuhkan parti sendiri.

“Jika anda menubuhkan parti politik, anda boleh mengikut cara Pejuang – maaf saya kata – kehilangan wang deposit, diketawakan dan seumpamanya.

“Tetapi mungkin anda berasa lebih puas kerana anda melakukannya dengan syarat anda sendiri,” katanya yang dipecat daripada UMNO pada Januari lalu.

Beliau kemudian mengimbas  bagaimana Imran Khan dari Pakistan tewas dalam beberapa pilihan raya sebelum berjaya menjadi Perdana Menteri.

“Jadi kalau kita buat parti sendiri, kita kena bersedia untuk tidak memenangi beberapa pilihan raya, tetapi satu hari nanti siapa tahu,” katanya.

Sementara itu, hos bersama Khairy, Shahril Hamdan Suffian – yang digantung daripada UMNO selama enam tahun – berkata dia tidak akan tergesa-gesa membuat sebarang pilihan politik.

Katanya, dia tidak mempunyai keinginan untuk bertanding dalam enam pilihan raya negeri akan datang, dan mahu fokus kepada kehidupannya di luar politik buat masa ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *