LIMA orang termasuk seorang kanak-kanaklelaki berusia dua tahun dan seorang warga emas, maut dalam satu kemalangan jalan raya di KM64, Jalan Sibu-Bintulu dekat Sibu, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mangsa maut yang menaiki kereta model Perodua Myvi dikenali sebagai Allesandro Collin Stewart, 2 dan Alicesha Bathrish Langi, 24.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang turut terkorban di lokasi kejadian adalah penumpang kereta Kia Sportage dikenali sebagai Marcos Marican, 26, Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lagi lelaki yang belum dapat dikenal pasti identiti.
“Lima lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya dilaporkan parah,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi.
“Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan seorang mangsa wanita yang masih tersepit dalam kereta Perodua Myvi dan pemeriksaan yang dijalankan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mangsa mengesahkannya sudah meninggal dunia.
“Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau, namun disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di klinik terbabit,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, lima lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau bagi diberikan rawatan lanjut dengan menggunakan Unit Ambulans KKM.
Mayat kelima-lima mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply