SERAMAI 16, 863 jemaah haji Malaysia sudah berada di Mekah dan Madinah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu seramai 11,294 berada di Makkah, manakala 5,569 berada di Madinah.
Katanya, kesemua 12 hotel di Mekah yang diperuntukkan untuk jemaah haji muassasah juga menerima jemaah dan beroperasi dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, penerbangan yang membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci juga melepasi peringkat separuh jumlah penerbangan apabila semua 50 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah selesai.
“Penerbangan terakhir iaitu KT57 telah tiba di Madinah pada awal pagi 4 Jun. Bagi penerbangan ‘feeder’ dari tujuh stesen berlepas selain KLIA, tiga stesen iaitu Alor Setar, Kota Bharu dan Kuala Terengganu telah lengkap penerbangannya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan operasi haji di Hotel Abraj Al Janadriyah, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.
Syed Saleh seterusnya menasihatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing kerana cuaca panas sudah meningkat julat suhunya.
Katanya, jika dibandingkan julat suhu dua minggu lalu ialah 38 darjah Celsius hingga 41 darjah Celsius kini meningkat kepada 42 darjah Celsius hingga 46 darjah Celsius dan dijangka bertambah pada hari Wukuf.
“Kita faham ada jemaah yang giat melakukan ibadah dengan berulang-alik ke Masjidilharam, pada masa sama mereka perlu peka dengan suhu ini dan jangan terdedah kepada cuaca panas secara langsung.
“Jemaah perlu dapatkan rehat secukupnya, jaga permakanan kerana ada 23 hari lagi sebelum hari Wukuf, jemaah perlu jaga kesihatan, makan dengan teratur untuk menghadapi aktiviti Masyair yang mencabar,” katanya.
Syed Saleh berkata, dalam suasana kehadiran jemaah haji dari negara lain yang makin bertambah, jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan penyakit.
Jemaah haji juga katanya perlu mendapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang penyakit dan tidak perlu risau untuk ke klinik kerana semua jemaah akan dipastikan dapat mengerjakan haji.
Mengulas mengenai jumlah pesakit di hospital, sejumlah 31 pesakit sedang dirawat di Pusat Rawatan TH dan lima pesakit di Hospital Arab Saudi.
Kesemua pesakit itu sedang menerima rawatan jangkitan paru-paru, sakit kulit, sakit otot dan sendi serta kesemuanya dalam keadaan stabil.
Pada tahun ini 31,600 jemaah haji akan menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan penerbangan terakhir berlepas pada 21 Jun ini.
Leave a Reply