Ahli UMNO kena berlapang dada terima Anwar di PAU – Ahmad Maslan

AKAR umbi UMNO diminta berlapang dada dan terbuka menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Khamis ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ahli UMNO tidak perlu terpengaruh dengan hasrat sesetengah pihak yang enggan hadir persidangan sebaliknya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.

Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, langkah menjemput Anwar dan juga 18 Presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

“Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.

“Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Veteran UMNO Johor, di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis ini dan disertai semua presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

Pada 14 Mei lalu, Anwar menjejakkan kakinya semula ke WTC, yang sinonim dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas lebih 25 tahun, apabila menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan segelintir ahli UMNO yang kononnya akan memboikot PAU 2023, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, golongan ini perlu memahami konsep demokrasi negara yang berlaku hasil titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, itu adalah asas utama yang perlu difahami golongan yang sengaja menimbulkan polemik kehadiran Anwar dan 18 presiden parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan apabila baginda menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan diwujudkan supaya kerajaan tidak tergantung, kami patuh. Itulah tindakan UMNO yang setia dan taat pada payung negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *