Tanah Suci ibarat rumah kedua

SETIAP jemaah haji mempunyai pelbagai kisah bagi menunjukkan tahap kecintaan mereka terhadap bumi yang penuh barokah ini.

Walaupun sudah berkali-kali datang menunaikan umrah, hati mereka tetap mahu lagi menziarahi dua Kota Suci yang menjadi destinasi impian umat Islam serata dunia.

Itulah yang dialami seorang pesara guru dari Machang, Kelantan, Yusoff Mohamad @ Abdul Samad, 89, dan isteri, Saedah Shamsudin, 87, yang tiba bersama tiga anak berumur 43 hingga 60 tahun.

Mereka cukup gembira tidak terkata tatkala mengetahui mendapat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Yusoff berkata, rasa cintanya terhadap Tanah Suci cukup tebal hinggakan ia menjadi destinasi wajib hampir setiap tahun.

“Hampir setiap tahun selepas bersara, saya bersama isteri akan menunaikan umrah dan berada di Tanah Suci sepanjang Ramadan. Lazimnya, kami akan ke Tanah Suci lebih awal sedikit sebelum Ramadan dan hanya pulang ke Malaysia beberapa hari selepas Aidilfitri.

“Kali terakhir kami mengerjakan umrah ialah pada 2019. Setelah pencen, tiga kali kami tidak dapat ke Tanah Suci ketika Ramadan, iaitu sekali berikutan masalah visa dan dua tahun lagi akibat pandemik Covid-19,” katanya yang mempunyai 25 cucu dan enam cicit.

Pasangan itu yang kali pertama menjejakkan kaki di Tanah Suci pada 1981, juga bersyukur kerana kesemua tujuh anak mereka yang berumur 47 hingga 64 tahun akan membantu termasuk dari segi tenaga dan pembiayaan kewangan.

“Jika datang umrah pada bulan puasa, anak-anak akan bergilir-gilir teman kami di sini. Waktu hari raya pun mereka dah faham akan sambut lewat sedikit apabila kami dah pulang ke kampung,” katanya, lapor Sinar Harian.

Saedah pula mengaku sering menangis setiap kali mahu berangkat pulang meninggalkan Tanah Haram kerana baginya di Makkah hati amat terasa tenang tidak seperti berada di tempat lain.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Hairuddin Mohd. Sofian, 63, dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor mempunyai kisah yang tidak kurang menariknya.

Dia sebenarnya masih terkesan dengan musibah banjir pada Mac lalu yang menenggelamkan kediamannya hinggakan habis semua kelengkapan dan perkakasan rumah rosak.

Hairuddin berkata, kesan banjir itu amat teruk hinggakan pada Aidilfitri lalu, dia masih belum selesai mengemas rumah dan membaiki kerosakan yang berlaku.

Namun apa yang menyentuh hatinya, kelengkapan ketika menunaikan umrah pada 2018 yang berada di dalam almari tidak rosak dan boleh digunakan semula.

“Almari itu sudah terbalik dan hancur akibat banjir. Namun Alhamdulillah, kelengkapan yang disimpan di dalamnya selepas ke Tanah Suci dulu tidak mengalami sebarang kerosakan,” katanya.

Hairuddin berkata, ia mungkin salah satu petanda dia mendapat tawaran untuk menunaikan haji pada kali ini.

“Alhamdulillah, seminggu sebelum raya saya dapat tawaran untuk menunaikan haji.. tak dapat gambarkan perasaan pada waktu itu amat seronok.

“Walaupun saya ada ‘slip disc’ disebabkan insiden pada 1993 dan perlu memakai pendakap leher pada waktu tertentu, keadaan itu tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi tetamu Allah.

“Saya sudah menjalani pemeriksaan dan pakar sahkan saya boleh menunaikan ibadah haji,” katanya yang turut bersyukur atas kelancaran perjalanan dari Malaysia ke Tanah Suci.

Beliau turut bersyukur kerana isterinya yang sebelum ini tidak dapat menunaikan haji pada tahun 2020 akibat Covid-19 dapat datang pada kali ini bersama-samanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *