‘Pemuda UMNO sebulat suara tak jemput parti lain’

KEPUTUSAN tidak menjemput wakil mana-mana parti ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 merupakan keputusan diambil bersama oleh semua barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.

Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Salleh berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara menerusi undian yang telah dibuat.

“Ini ruang untuk kita perjelaskan, meluah dan perbetulkan apa yang menjadi tanda tanya dalam kalangan adik beradik kita.

“Selesaikan hal adik beradik kita dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke rumah kita,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal menyatakan Pemuda UMNO tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU 2023 bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu depan.

Dengan maksud tersirat, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dulu apa yang berlaku di ‘rumahnya’ sebelum menjemput mana-mana parti

Perhimpunan agung tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 7 hingga 10 Jun ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Affifi Aris berkata, beliau sentiasa bersama akar umbi menyambut baik kenyataan Dr. Muhamad Akmal yang mahu selesai hal ‘adik beradik’ terlebih dahulu.

Ujarnya, ahli akar umbi mesti diperjelaskan dengan baik sebab utama membentuk kerajaan bersama dengan Pakatan Harapan dan parti-parti lain.

“Menyambut titah Yang di-Pertuan Agong adalah tanggungjawab utama UMNO sebagai parti yang mendokong dan mempertahankan institusi orang Melayu.

“Namun membentuk sebuah kerajaan pada hari ini tidak bermakna ahli parti setuju dengan jajaran politik baru sehingga berkerjasama dalam pilihan raya,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata, ahli parti mesti diberi penjelasan mengenai naratif baharu tersebut tentang sebab bersama Kerajaan Perpaduan dengan membawa kepada jajaran politik baru dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau, semasa menghadapi PRN Melaka dan Johor, UMNO-Barisan Nasional (BN) memilih ‘Go Solo’ (bergerak sendirian) namun kemenangan tetap memihak kepada gabungan tersebut.

Katanya, tidak timbul situasi UMNO-BN bertanding bersama parti yang membentuk kerajaan Persekutuan pada masa itu.

“Saya harap kepimpinan Ketua Pemuda UMNO wajar menjadi juara dalam menyelesaikan konflik dalam akar umbi terutamanya ahli UMNO.

“Kita mahukan kesepakatan dalam kepimpinan pemuda dan bukan menjadi pak turut dengan hanya ‘angguk-angguk, geleng-geleng’,” ujarnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *