Zahid semakin terdesak selepas UMNO menumpang rezeki DAP

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau sebarang hantaran menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu disifatkan sebagai tindakan terdesak.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, arahan Timbalan Perdana Menteri itu hanya untuk mengalih perhatian rakyat dan menutup kegagalan Pakatan Harapan-UMNO yang semakin terserlah.

“Zahid semakin terdesak kerana pilihan raya negeri (PRN) sudah dekat. Dia telah membawa UMNO menjadi sebuah parti yang menumpang rezeki daripada DAP. Sudah pasti akar umbi UMNO tidak selesa dan ramai yang mahu berhijrah.

“Ini juga Zahid mahu tutup dengan cara melakarkan gambaran negatif mengenai Perikatan Nasional (PN).

“Data jelas menunjukkan bahawa PH-UMNO ditolak oleh pengundi Melayu.

Ini adalah data yang perlu perhatian daripada semua pihak tanpa melabelkannya dengan apa-apa label negatif.

“Ia adalah fakta yang perlu dibicarakan secara terbuka oleh semua yang prihatin mengenai halatuju negara, bukan sahaja oleh orang politik tapi juga ahli akademik, NGO, dan orang awam,” katanya dalam hantaran dalam Facebook milinya, hari ini.

Kelmarin, Zahid mengarahkan KKD memantau sebarang hantaran yang cuba menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu, khususnya politik, di negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful melihat kerajaan sekarang cuba menutup kegagalan mereka dengan menuduh PN adalah parti perkauman.

Jelasnya, arahan Zahid kepada SKMM itu hanya satu lagi strategi mereka untuk menambah lakaran tersebut.

“Dia nak ‘imply’ seolah-olah mereka suci tapi orang lain kotor. Padahal kami dalam PN konsisten memperjuangkan kemakmuran bersama untuk semua bangsa dan agama.

“Tatkala PH-UMNO semakim gagal menjaga kebajikan rakyat, kami dalam PN terus bercakap mengenai perkara seperti #kwspbersasar, kawalan harga, bantuan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *