‘Walaun’ umpan askar siber, PN dinasihat tidak termasuk jerat – KJ

PEMBANGKANG khususnya dalam kalangan gabungan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak termakan ‘umpan’ yang ditabur oleh askar siber atau ‘cybertrooper’.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan, gelaran-gelaran yang diberikan untuk menggambarkan pemimpin atau penyokong PN melampaui batas kesopanan orang Melayu.

“Orang PH (Pakatan Harapan) sendiri sekarang ini nak tegur dia punya cybertrooper supaya tidak terlalu agresif. Awak tahu apa mereka gelar anda ‘walaun’.

“Dan saya rasa orang Melayu bukan macam inilah, you jangan makan umpan itulah,” katanya menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Pada sesi kali ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diundang sebagai tetamu.

Dalam pada itu, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ mengakui memiliki satu sudut istimewa atau ‘soft spot’ bila bercakap tentang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun begitu, beliau berharap Pengerusi PN berkenaan akan menerima apa sahaja keputusannya selepas ini khusus melibatkan masa depan politik.

“Saya (ada) DNA sebagai ahli politik, dan akhirnya nanti saya mahu kembali ke politik sama ada sekarang atau kemudian.

“Saya akan bertemu beliau dalam masa terdekat, apa saja keputusan saya harap tan sri akan terima dan parti Bersatu akan terima,” katanya lagi.

Baru-baru ini Muhyiddin menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada KJ jika beliau mahu menyertai parti itu.

Muhyiddin mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas dipecat UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *