PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengekalkan kerusi yang disandang wakil rakyat masing-masing dalam menghadapi pilhan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.
Setiausaha Pas negeri, Roslan Shahir berkata, itu merupakan formula kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi PRN.
“Tidak timbul Pas mahu kerusi yang disandang parti rakan,” komen beliau di sebalik laporan bahawa partinya inginkan kerusi milik sekutu.
Beliau mengulas laporan media yang memetik sumber Perikatan Nasional (PN) bahawa Pas ingin bertanding di DUN Gombak Setia, yang ketika ini disandang oleh wakil rakyat Bersatu, Hilman Idham.
Roslan berkata kerusi boleh bertukar tangan apabila parti penyandang ingin bertukar kawasan, dan persetujuan dicapai oleh parti-parti terbabit.
“Kalau ada permintaan untuk tukar kawasan yang telah menang, atas dasar suka sama suka, ia akan dilakukan.”
Ditanya mengenai kemajuan rundingan kerusi PN Selangor, Roslan menjangkakan ia akan dimuktamad pada awal Jun.
“Tiada isu besar dan semua berjalan lancar,” katanya memetik laporan FMT.
Hilman memenangi kerusi Gombak Setia atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14, selepas meraih 12,399 undi mengatasi calon Pas (11,758) dan calon Barisan Nasional (11,113).
Bersatu juga mempunyai wakil rakyat di Bukit Antarabangsa, Selat Klang, dan Dengkil; manakala Pas di Sijangkang.
Selangor mempunyai 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Leave a Reply